Kesesakan Jalan raya
Perancangan pembangunan bandar yang baik seharusnya akan menghasilkan sebuah pertempatan yang selesa dan teratur. Pertempatan yang selesa dan teratur ini dapat dilihat misalnya dari segi susunan bangunan, jalan raya dan kemudahan awam. Namun begitu, biarpun sebaik mana perancangan pembangunan sesebuah Bandar itu dilakukan, satu masalah yang sukar di atasi adalah masalah kesesakan jalan raya. Masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh Negara kita sahaja malah turut berlaku di merata dunia.
Di Bangkok, Thailand masalah kesesakan jalan raya telah berlarutan sejak sekian lama malah dikatakan menjadi semakin teruk. Dilaporkan lebih daripada 2.6 juta kenderaan melalui jalan raya di Bangkok setiap hari. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan tahap kebisingan yang tinggi bagi penduduk di bandar tersebut. Masalah utama di Bangkok ialah ketiadaan system pengangkutan awam yang cekap dan mencukupi. Kemudahan yang ada sebahagiannya berhadapan dengan berbagai masalah. Misalnya, kos penyelenggaraan yang tinggi dan laluan perkhidmatan yang terhad.
Masalah kesesakan jalan raya turut juga berlaku di Jakarta, Indonesia. Kesesakan jalan raya yang teruk berlaku hampir setiap hari terutama pada waktu pagi dan petang. Ini kerana pada kedua-dua waktu tersebut jalan raya dipenuhi dengan kenderaan yang membawa pekerja-pekerja untuk ke pejabat dan pulang ke rumah. Punca kesesakan berlaku disebabkan oleh jumlah kenderaan yang semakin bertambah. Di laporkan di Jakarta pertambahan pendaftaran motorsikal bertambah lebih 60% dari 1.5 juta pada 1998 kepada 2.4 juta pada 2002. Sementara jumlah kenderaan persendirian seperti kereta bertambah dari 1 juta pada 1998 kepada 1.4 juta pada 2002.
Seperti mana di Bangkok dan Jakarta, Kuala Lumpur turut menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti kemalangan, bilangan kenderaan yang tinggi, kerosakan lampu isyarat, dan sebagainya. Masalah kesesakan ini menjadi bertambah buruk setiap kali pada masa hari hujan. Dengan sistem pembentongan dan perparitan yang tidak dapat menampung jumlah air hujan yang tinggi, limpahan air akan memenuhi jalan raya-jalan raya di sekitar bandar tersebut. Akibatnya, banyak jalan raya tidak dapat dilalui sebagaimana hari biasa dan keadaan ini sekaligus menyebabkan kenderaan terperangkap dalam kesesakan untuk tempoh masa yang panjang.
Banyak pihak menyalahkan di antara satu sama lain dalam menangani masalah kesesakan jalan raya. Terdapat pihak mendakwa perancangan pembangunan yang tidak dilakukan secara sewajarnya merupakan punca utama masalah berkenaan timbul. Bangunan-bangunan didirikan tanpa memikirkan soal perparitan yang mencukupi dan bermacam lagi dakwaan-dakwaan yang lain. Namun yang pasti apa juga punca yang menyebabkan masalah kesesakan jalan raya, masalah tersebut memberi kesan besar kepada pengguna jalan raya itu sendiri serta masyarakat.
Terdapat kajian di Negara maju yang menunjukkan bahawa individu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya menghadapi masalah tekanan jiwa dan kecewa. Hal ini disebabkan oleh kegagalan mereka untuk sampai ke sesuatu destinasi dalam masa yang sepatutnya. Seringkali perancangan yang diatur terganggu atau gagal sama sekali. Misalnya, seseorang yang sepatutnya sampai ke pejabat sebelum pukul 9 pagi, tetapi disebabkan oleh masalah tersebut maka mereka sering lewat. Perkara ini jika berlarutan boleh memberi kesan kepada kerjaya seseorang itu. Begitu juga pada waktu pulang dari tempat kerja. Masa yang sepatutnya dapat dihabiskan untuk bersama keluarga pada sebelah petang, terbuang begitu saja di atas jalan raya yang sesak. Akibatnya boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan.
Selain dari itu, seseorang yang menjadi ‘mangsa’ kesesakan jalan raya boleh terpengaruh dengan sikap yang buruk. Bagi mereka yang kurang sabar, kecenderungan untuk bersikap agresif seperti mana ketika memandu boleh menyebabkan keluarga terutama anak-anak di rumah menjadi mangsa keadaan. Tidak hairanlah kes-kes yang melibatkan pertelingkahan antara ahli keluarga sentiasa bertambah sungguhpun tidak sampai ke tahap yang serius. Oleh yang demikian, masalah kesesakan jalan raya tidak hanya melambatkan perjalanan tetapi turut menyentap rasa sabar seseorang pengguna dan menjadikan seseorang itu bertukar watak menjadi agresif. Lebih teruk sikap agresif itu terbawa-bawa ke rumah hinggakan ahli keluarga turut menerima kesannya.
Banyak lagi kesan besar yang timbul akibat daripada masalah kesesakan jalan raya. Masalah bertambahnya kemalangan jalan raya, berkurangnya tumpuan ketika memandu, kos bahan api yang meningkat dan sebagainya antara masalah yang lazim. Namun begitu, antara kesan yang tidak kurang penting ialah kesan kepada ekonomi Negara terutama kepada sector perniagaan. Oleh kerana masalah kesesakan jalan raya melibatkan peningkatan kos bahan api (minyak), banyak syarikat perkhidmatan penghantaran barangan menggenakan kadar caj yang tinggi bagi menghantar barangan di kawasan yang sering menghadapi masalah tersebut. Ini kerana caj yang tinggi terpaksa dikenakan bagi menampung kos bahan api yang dihabiskan serta masa yang panjang terpaksa di ambil bagi sesuatu penghantaran barangan. Keadaan ini sekaligus meningkatkan kos operasi sesebuah syarikat. Sehubungan dengan itu, banyak syarikat terpaksa mengalih operasi syarikat ke negara lain yang mana masalah kesesakan jalan raya lebih rendah berbanding dengan negara kita. Rentetan dari itu, kegiatan ekonomi Negara menjadi berkurang sekaligus memberi kesan kepada Negara dan rakyat.
Di kebanyakan Negara-negara membangun seperti Malaysia, antara punca pendapatan Negara diperoleh dari kegiatan pelancongan. Menerusi kemasukan pelancong-pelancong asing ke Negara kita, Negara akan mendapat tukaran asing yang begitu tinggi. Kutipan wang menerusi sewa bilik hotel, kenderaan, makanan, perkhidmatan pemandu pelancong dan sebagainya memberi pulangan besar kepada Negara. Namun jika masalah kesesakan jalan raya tidak diselesaikan, pulangan dari kegiatan pelancongan akan berkurangan dan sekaligus menutup rezeki pengusaha-pengusaha pelancongan. Tidak ada pelancong yang kembali untuk kali kedua mengunjungi tempat di mana kesesakan jalan raya menjadi masalah utama. Mereka (pelancong) yang datang untuk satu tempoh, sememangnya berharap akan dapat melawat seberapa banyak tempat yang menarik. Tetapi jika mereka tidak dapat berbuat demikian tentu sekali peluang kita menerima kedatangan mereka untuk kali kedua menjadi tipis.
Sebagai kesimpulan, masalah kesesakan jalan raya di Bandar-bandar besar terutamanya haruslah diselesaikan dengan sebaik mungkin. Akibat dari masalah ini bukan hanya kepada rakyat dalam Negara sahaja tetapi turut menjadi mangsa ialah pelabur-pelabur luar bersama-sama pelancong-pelancong yang dapat memberikan sumber pendapat kepada Negara. Justeru itu, kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam perancangan pembangunan bandar, soal menangani kesesakan jalan raya haruslah bermula sejak dari awal perancangan pembangunan dibuat dan bukannya setelah masalah tersebut telah menjadi barah.
No comments:
Post a Comment